Wednesday, November 4, 2009

'Saya Muslim progresif bukan Wahabi'

'Saya Muslim progresif bukan Wahabi'

KUALA LUMPUR: "Saya bukan Wahabi tetapi Muslim progresif. Saya tidak tahu apa itu Wahabi.

"Saya hendak tanya, sekiranya seseorang itu Wahabi, adakah itu membolehkan Jais dan polis membuat serbuan begitu rupa. Kenapa tidak tangkap orang yang tak sembahyang, itupun agama tak suruh berbuat demikian.

"Tulisan saya dibaca oleh orang ramai semua peringkat umur, termasuk ahli politik. Orang Umno baca tulisan saya, begitu juga orang Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun baca tulisan saya," kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad yang mendakwa pandangan yang dikemukakan Mohd Asri selama ini mempunyai elemen fahaman Wahabi.

Mohd Asri juga mencabar Nakhaie membuktikan beliau mengamalkan fahaman Wahabi.

Kelmarin, Mohd Asri di tahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana mengajar agama tanpa tauliah. Bagaimanapun beliau dibebaskan dengan bon jaminan kerana pihak pendakwaan Jais gagal mengemukakan pertuduhan terhadapnya.

Kontroversi tercetus apabila beliau menolak tawaran untuk menerajui Yadim berikutan memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agung bagi membantah perlantikannya.

PGSM mendakwa Mohd Asri tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari selain mencerca ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

Sementara itu, Mohd Asri mempersoalkan Nakhaie yang ingin membeli aset bernilai jutaan ringgit ketika menerajui Yadim yang dianggapnya tidak perlu dan menghalang akaun Yadim daripada diaudit.

"Kenapa Yadim mesti ada aset yang tidak perlu, terutama di Indonesia. Malah, saya dengar beliau mahu membeli aset bernilai jutaan ringgit sebelum meninggalkan Yadim.

"Saya tak pernah tuduh siapa dan saya juga tidak kata mengenai perkara ini. Saya cuma dengar cerita saja. Jadi adalah elok juruaudit memeriksanya dan ini tidak bermakna beliau buat salah," katanya

Mengulas tawaran jawatan Yang Dipertua Yadim, Mohd Asri berkata individu yang ingin menduduki kerusi berkenaan tidak perlu gusar kerana beliau tidak mahu bersaing dengan sesiapa dan sudah menolak jawatan itu. - BH Online

No comments:

Post a Comment