KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sektor kewangan Islam tidak hanya penting kepada Malaysia, malah menjadi elemen strategik pemulihan ekonomi global daripada krisis kewangan yang menggugat institusi perbankan antarabangsa.
Perdana Menteri berkata dengan kerugian besar yang ditanggung institusi perbankan konvensional, perkembangan pesat sektor perbankan Islam kini menarik perhatian global.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun kewangan Islam berjaya mengelak kerosakan teruk akibat inovasi kewangan yang keterlaluan dan amalan pemberian pinjaman tidak berhemah, peserta pasaran digesa jangan terlalu berpuas hati.
“Adalah penting mempelajari dan mendapat iktibar daripadanya bagi memastikan ketidakstabilan pasaran kewangan seumpama itu dapat dielakkan pada masa depan,” katanya pada pembukaan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam, di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, pembangunan industri kewangan Islam mesti berlandaskan empat pemacu utama, iaitu memastikan inovasi produk kekal dalam lingkungan Maqasid al-Shariah yang merealisasi paradigma perniagaan kewangan Islam untuk manfaat rakyat.
Selain itu, ia perlu memastikan inovasi produk disokong amalan ketelusan bagi menjadikan institusi kewangan Islam bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan dan urus niaga.
Pemacu ketiga ialah memastikan sistem pengurusan risiko memiliki benteng kawalan mencukupi dan bersesuaian dengan inovasi sofistikated kewangan Islam dan yang terakhir menyediakan infrastruktur sokongan lengkap bersesuaian dengan elemen unik.
Mengenai kedudukan semasa pasaran kewangan Islam Malaysia, Najib berkata, saiz pasaran modal berjumlah RM803 bilion sehingga akhir Ogos lalu, mewakili 54 peratus daripada keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia.
“Ia adalah pasaran paling lengkap di dunia. Bermula dengan penerbitan sulung sukuk pada 2002, wujud aliran inovasi kukuh dalam bidang berkenaan dari Malaysia, sekali gus menghasilkan apa yang dikenali pasaran sukuk mata wang domestik terbesar,” katanya.
Berhubung pertumbuhan ekonomi negara, Najib berkata, pelaksanaan perbelanjaan tambahan menerusi dua pakej rangsangan mencerahkan prospek kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif pada suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata, pakej rangsangan fiskal berjumlah RM67 bilion yang mewakili hampir 10 peratus membantu ekonomi negara dalam mengharungi kemelesetan global. - BH online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment