7 Februari, 2010
ETIQA TAKAFUL SUMBANG EMPAT BUAH RUMAH KEPADA RUMAH
PENDIDIKAN AT-TOHIRIAH
Port Dickson – Etiqa Takaful hari ini menyerahkan empat buah rumah kepada Rumah
Pendidikan At-Tohiriah di sini, sekaligus menyediakan tempat kediaman untuk lebih daripada
60 orang anak-anak yatim, kanak-kanak kurang berkemampuan serta penjaga dan tenaga
pendidik mereka.
“Janji jenama Etiqa adalah menginsankan insurans dan takaful, di mana kami ingin
menjadikan semua urusan perniagaan takaful senang dan mudah untuk para pelanggan dan
orang ramai. Janji jenama ini digunapakai dalam semua aspek di syarikat ini, begitu juga
dalam program komuniti kami. Kami juga mahu menjadikan kehidupan lebih senang dan
mudah untuk mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan,” kata En
Shahril Azuar Jimin, Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Takaful Berhad.
Etiqa Takaful menderma RM240,000 untuk membeli empat buah rumah yang kemudiannya
diubah menjadi asrama dan pejabat untuk Rumah Pendidikan At-Tohiriah. Memandangkan
kesemua anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan menetap dan belajar di
rumah itu, Etiqa Takaful turut menghadiahkan beberapa rak buku serta bahan-bahan bacaan
dan alat tulis untuk membina satu sudut ilmu bagi kegunaan mereka.
Program sepanjang satu hari ini bukanlah hanya mengenai sumbangan berbentuk
kebendaan sahaja kerana lebih daripada 100 wargakerja Etiqa dari Kuala Lumpur dan
Negeri Sembilan turut hadir untuk beramah mesra dengan penghuni rumah ini melalui
pelbagai aktiviti seperti sesi berkenalan, sesi motivasi, acara sukan dan permainan. Satu
sesi gotong-royong turut dijalankan untuk menjadikan kawasan rumah itu lebih bersih dan
sihat untuk penghuni di situ dan untuk mengekalkan keadaan ini, Etiqa Takaful turut
menyumbang beberapa peralatan kebersihan kepada rumah tersebut.
Shahril menerangkan, ”Ini adalah salah satu aktiviti di bawah program Tanggungjawab Zakat
Korporat kami yang telah dilaksanakan selama beberapa tahun. Di bawah program ini, kami
menggunakan sebahagian daripada duit zakat tahunan kami untuk memberikan bantuan
terus dan segera kepada institusi-institusi yang benar-benar memerlukan bantuan kami.
Sejak program ini dimulakan, kami telah membantu lebih daripada 14 institusi dan rumah
anak yatim dan 1,500 anak-anak yatim dan keluarga yang kurang bekemampuan di seluruh
negara.”
Lebih daripada RM1.5 juta ringgit dibelanjakan setiap tahun melalui program ini dan bantuan
yang diberikan kepada institusi dan keluarga adalah dalam bentuk rumah-rumah baru,
asrama, bilik darjah, dewan makan, surau, dewan serbaguna, makmal komputer dan
infrastruktur yang lain. Bantuan juga diberi dalam bentuk kenderaan seperti van, komputer,
mesin jahit, peralatan permainan dan sukan, buku-buku, alat tulis dan lain-lain lagi.
Program ini menyaksikan lebih daripada 100 wargakerja Etiqa menjadi sukarelawan di
setiap institusi dan pusat yang menerima bantuan di seluruh negara seperti di Paya
Rumput, Melaka; Manjoi dan Sungai Siput, Perak; Permatang Pauh, Pulau Pinang; Merbok
dan Baling, Kedah; Kota Tinggi, Johor; Tumpat, Kelantan; Kuala Ibai, Terengganu; Tawau,
Sabah; Arau dan Kangar, Perlis dan banyak lagi.
Lebih daripada 250 orang tetamu telah hadir ke program hari ini termasuk orang ramai dan
juga wakil-wakil daripada pihak berkuasa tempatan.
“Kami percaya bahawa semua orang boleh memainkan peranan, tidak kira sekecil mana,
untuk membantu golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan untuk menikmati
kehidupan yang lebih selesa kini dan untuk masa hadapan. Kami berharap agar kanakkanak
ini akan dapat terus berkembang dan membangun untuk menjadi individu yang
berjaya supaya mereka pula dapat menyumbang kembali kepada komuniti dan menjadikan
dunia ini lebih baik dan bermanfaat,” tambah Shahril.
Tuesday, March 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment